Rasuah adalah satu amalan yang boleh dikatakan diterima oleh masyarakat kita dan dianggap bukan suatu kesalahan atau dosa untuk mengambil atau memberi. Ini boleh dibuktikan dengan melihat keadaan di sekeliling kita, kawan, saudara mara, ahli keluarga dan teman sepejabat.

Definisi rasuah bermaksud 1 perbuatan yg salah di sisi undang-undang spt menerima atau memberi wang suap (pecah amanah, menggelapkan wang, mencuaikan tanggungjawab dll). 2 sesuatu yg diberikan atau yg diterima sbg sokongan.http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=rasuah&domain=PRPM

Pernahkan anda dengar ungkapan seperti “Biasala bang, nak hidup“. Daripada pemerhatian saya, saya mendapati individu yang menggunakan ayat tersebut banyak terdiri daripada golongan perasuah. Tetapi bagi mereka, apa yang mereka lakukan bukanlah rasuah, tapi salah satu cara untuk mendapat projek atau kontrak ‘demi mencari rezeki’. Maka, disebabkan dengan perkataan ‘rezeki’, segala amalan yang dilakukan untuk mendapat projek atau kontrak tersebut dianggap halal atau ‘biasa’.

Bagi sesetengah orang, atas alasan ‘mencari rezeki‘, individu sanggup melakukan hampir apa saja untuk mendapat sesuatu projek seperti merasuah. Tetapi mereka tidak mencuri, merompak atau ‘tikam belakang’ pesaing mereka kerana pada mereka, itu semua adalah jenayah dan berdosa. Tetapi mereka tidak tahu bahawa rasuah adalah salah satu bentuk mencuri dan merompak, cuma cara melakukannya lebih ‘low profile’ dan bersifat ‘under table’. Maka individu- individu ini berani melakukan rasuah tetapi takut untuk mencuri atau merompak, walhal semua perbuatan tersebut adalah jenayah dan sama sifatnya. Cuma modus operandi nya sedikit berbeza. Rasuah adalah mencuri. Rasuah adalah merompak.

Rasuah adalah amalan yang diterima oleh masyarakat kita, dan sekarang sudah menjadi budaya hidup kita. Kenapa? kata mereka ‘demi mencari rezeki’, ‘nak hidup’, ‘mencari sesuap nasik‘ dan bermacam- macam ayat simpati yang lain. Saya pasti anda mesti pernah mendengar orang disekeliling anda menyebut ayat- ayat tersebut. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka adalah sama seperti mencuri atau merompak kerana niat untuk merasuah bergantung pada beberapa sebab:

1. mendapat projek atau kontrak dengan cara paling singkat/ mudah

2. mendapat kelebihan berbanding pesaing anda dalam sesuatu tender

3. mendapat projek atau kontrak tanpa melepasi syarat- syarat tertentu

Apabila anda merasuah untuk mendapat salah satu objektif diatas, ia boleh dirumuskan sebagai mencuri atau menipu. Anda merasuah untuk mendapat kelebihan yang tidak adil berbanding pesaing samalah seperti merompak, kerana anda tahu tanpa rasuah, kemungkinan untuk anda mendapat projek tersebut amat tipis. Maka bagi anda, perbuatan merasuah boleh dijadikan sebagai ‘jaminan’ untuk mendapat projek tersebut. Itulah mencuri namanya. Mencuri dalam erti kata mencuri peluang pesaing anda untuk mendapat projek tersebut secara adil dan saksama.

Dalam proses tender, client akan memilih satu daripada beberapa pembida projek tersebut atas beberapa faktor seperti sebutharga, bekalan stok dan kualiti produk. Tetapi, apabila salah satu pembida merasuah client dengan wang ringgit, client tidak lagi akan membuat keputusan dengan menimbang 3 faktor tersebut, tetapi akan memilih pembida yang merasuah beliau kerana telah diberikan kelebihan yang tidak diberi oleh pembida lain, iatu wang. Tetapi dalam proses tender tidak ada mengatakan bahawa sesiapa yang memberi insentif wang yang lebih banyak akan mendapat projek tersebut, maka perbuatan memberi insentif wang kepada client adalah ‘mendapat kelebihan berbanding pesaing anda dalam sesuatu tender’. Itu adalah rasuah, dan itu adalah jenayah. Tetapi mereka akan kata “biasala bang, nak hidup” dan orang disekeliling mereka akan buat- buat bodoh dan buat biasa. Orang kita.

Kerana itulah saya menyatakan bahawa ‘rasuah adalah satu amalan yang boleh dikatakan diterima oleh masyarakat kita dan dianggap bukan suatu kesalahan atau dosa untuk mengambil atau memberi’. Kerana disebabkan ‘nak hidup’, ‘mencari rezeki’, ‘mencari sesuap nasik’, amalan rasuah tidak salah malah harus dilakukan. Bangsa kita sudah boleh menerima amalan rasuah sebagai salah satu amalan hidup demi mencari rezeki di dunia. Tetapi mereka memutuskan untuk lupa bahawa rasuah itu sama saja dengan mencuri, merompak atau menipu kerana rasuah memberi jaminan pulangan di masa hadapan. Ingatlah perasuah- perasuah semua, perbuatan anda sama saja dengan mencuri dan merompak. Ini adalah amalan yang keji dan anda berlindung dibelakang simpati orang lain dengan menggunakan ayat- ayat seperti ‘nak hidup’ atau ‘mencari rezeki’. Anda perlu tahu bawaha untuk hidup atau mencari rezeki, rasuah bukanlah cara yang perlu diikuti dan ia adalah satu bentuk jenayah baik dari segi moral dan agama. Itu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Saya sedih.